Total Pageviews

Popular Posts

Sunday, July 24, 2016

Integriti

Di dalam komunikasi di antara operator radio amatur, terlalu banyak mesej yang berintegriti rendah tersebar. Sama juga dengan dunia siber. Mesej atau berita cepat sampai ke pihak penerima tetapi kejujuran berita atau kenyataan itu diragui. Keadaan menjadi lebih buruk kerana terlalu ramai penerima yang menerima sebarang cerita dan menelannya bulat-bulat tanpa sebarang rujukan dan penelitian yang mendalam.

Seperti propaganda, adakalanya ramai pihak yang menokok tambah cerita yang pada asalnya bukanlah sesuatu yang begitu berlebihan tetapi menjadi lebih teruk apabila ditokok tambah. Bak kata menteri propaganda Nazi, "berita palsu jika diberitahu setiap hari orang akan percaya". Seorang operator radio amatur yang berhemah harus bijak dalam perkara ini.

Apabila menyampaikan sesuatu cerita, seseorang harus memastikan cerita itu dirujuk dan diselidik terlebih dahulu supaya kita tidak menipu secara tidak sedar. Ini adalah penting jika berlaku sebarang bencana. Berita desas desus yang diragui kebenarannya harus ditolak ke tepi. Tidak perlu mengejar untuk menjadi tumpuan sehinggakan sanggup menipu di udara kerana radio amatur sejati adalah jujur. Sebagai contoh, berita palsu yang tersebar semasa bencana berlaku akan mengakibatkan kekeliruan dan kekacauan semasa proses komunikasi bantuan bencana.

Jika kita sama sama mengutamakan integriti, sudah tentu radio amatur akan meraih suatu kepercayaan terutama dari pihak kerajaan ataupun pentadbir setempat dan seterusnya pada mata masyarakat. Di Jepun dan Amerika, radio amatur dihormati dan sentiasa menjadi pilihan pentadbir setempat dan pasukan keselamatan jika perlunya bantuan dari segi komunikasi kecemasan.

Amalan menjaga integriti harus dititikberatkan bersama sama demi menjaga nama radio amatur itu sendiri. Sebarang berita harus di selidik terlebih dari kesahihan. Faktor umur tidak menghalang seseorang itu untuk menyebarkan berita palsu. Tua atau muda ramai yang pernah berbuat demikian kerana itu adalah sifat tamak kebanyakkan manusia sejak azali.

Akhir sekali, jagalah integriti. Setiap radio amatur adalah tumpuan masyarakat. Jangan mencerminkan perkara yang tidak baik kepada masyarakat dan juga sesama operator radio amatur. Anda adalah diri anda. Tiada role model di dalam dunia radio amatur. Corakkan diri sendiri kerana setiap corak menggambarkan keperibadian kita. Jaga integriti, hiasi peribadi.

73 de 9M2PJU



No comments:

Post a Comment