Total Pageviews

Popular Posts

Friday, July 22, 2016

Repeater dan Radio Amatur

Penggunaan repeater merupakan satu aktiviti yang sering menjadi pilihan bagi mereka yang mula menceburi di dalam dunia radio amatur. Aktiviti beramah mesra, berkenal-kenalan juga sering berlaku di repeater.  Dengan hanya menggunakan handy talkie 5 watts dengan antenna rubber duck, selalunya repeater mudah dicapai jika tiada halangan pada line of sight. Di Malaysia, terdapat banyak repeater VHF dan juga UHF. Ada yang standalone dan ada juga yang bersambung dengan repeater lain (linked). Repeater meningkatkan kualiti perhubungan dan memanjangkan jarak perhubungan. Penggunaan repeater daripada sebuah kenderaan yang bergerak juga menyeronokkan. Dapat berbual semasa memandu boleh mengurangkan sedikit tekanan ketika berada di dalam kesesakan. Repeater juga mampu memberi kesan WOW kepada orang awam yang rata-ratanya beranggapan komunikasi menggunakan handytalkie adalah terhad. Antara soalan lazim yang sering ditanya oleh masyarakat bila melihat sebuah handytalkie adalah, "berapa batu jauh benda ni boleh digunakan untuk bercakap?".

Sebelum menggunakan repeater atau mencelah masuk perbualan yang berlansung, ada baiknya jika kita mendengar dulu untuk beberapa minit supaya tidak berlaku pertindihan, kekacauan dan juga ketidakpuasan pihak yang sedang menggunakan repeater terutama jika sesebuah repeater itu sedang digunakan untuk komunikasi bantuan kecemasan. Jika ada stesen yang menggunakan repeater, perhatikan callsign-callsign mereka yang juga bulatan pertukaran yang telah dibuat. Jika topik yang dibualkan bukan menjadi perhatian kita, tak perlu untuk mencelah masuk kecuali jika ada sebarang kemusykilan atau soalan yang ingin diajukan. Bagi stesen yang sedang menggunakan repeater, amalkan pause beberapa saat ketika bertukar giliran supaya ada peluang untuk stesen yang ingin turut serta.

Time out timer dan identifications beacon juga perlu diperhatikan supaya kita tidak tertindih dengan beacon yang sedang berbunyi. Time out timer biasanya digunakan untuk meringakan beban repeater serta mengurangkan uptime pancaran yang sudah tentu memakan bekalan kuasa sesebuah repeater. Patuhi masa yang ditetapkan supaya mesej yang hendak disampaikan tidak putus ditengah jalan.

Penggunaan CQ yang asalnya diambil dari perkataan seek you adalah kurang tepat di repeater namun ianya bukan kesalahan yang besar dan cuba elakkan. Selalunya panggilan CQ dibuat pada pengoperasian simplex, tidak kira apa jua frekuensi. HF, VHF atau UHF. Sebuah repeater selalunya berada di tempat yang tinggi, menjadi middleman di antara 2 stesen yang terhalang pada ertikata line of sight. Selalunya ada ramai pengguna yang mendengar pada frekuensi repeater. Amalkan penggunaan ayat yang ringkas dan tepat sepatutnya diamalkan supaya memudahkan perhubungan. Keep it short and simple. Sebagai contoh, "ada sesiapa di repeater ? di sini 9W2PJU" sudah memadai, terang dan jelas. Jika tiada sahutan dari stesen pendengar, sila panggil dengan maksud dan niat yang betul supaya orang mengerti yang kita sedang memanggil sebagai contoh, "Memanggil mana-mana stesen, di sini 9W2PJU standing by". Secara tak lansung prosidur ini akan melatih kita supaya membiasakan diri dalam penghantaran maklumat dan ianya sangat penting dalam komunikasi bantuan bencana atau kecemasan.

Portable, mobile dan base station adalah 3 kategori stesen radio amatur yang berbeza. Portable yang dimaksudkan bukan bermaksud stesen radio amatur itu beroperasi menggunakan portable radio seperti handytalkie. Ia bermaksud sesebuah stesen radio amatur itu sedang beroperasi di satu tempat jauh dari base station. Sebagai contoh, di dalam hutan, di atas bukit ataupun ditepi pantai. Stesen yang beroperasi di luar call area juga dikira sebagai stesen portable.

Stesen mobile bermaksud stesen yang bergerak. Tidak semestinya di atas kenderaan sahaja. Pejalan kaki juga dikira sebagai stesen mobile. Tak jadi masalah jika kita menyebut mobile ketika berjalan kaki tetapi bagi bagi stesen radio amatur diluar negara, mereka selalunya menggunakan terma yang lebih khusus ketika berjalan kaki iaitu pedestrian mobile. Jika anda tidak percaya, rujuk video klasik world of amateur radio terbitan ARRL. Untuk makluman semua, ARRL merupakan antara organisasi radio amatur yang tertua di dunia.

Base station adalah stesen radio amatur yang beroperasi di kediaman atau alamat sebenar seseorang operator radio amatur. Sebutan base station tidak diperlukan semasa beroperasi. Cukup dengan menyatakan callsign. Radio amatur yang cekap biasanya akan faham.

Kita biasa dengar ada orang menyebut mobile statik di repeater. Situasinya begini, mula masuk repeater ketika sedang bergerak di dalam satu stesen mobile dan tiba tiba berhenti di satu tempat dan menyebut mobile statik. Sebenarnya ia adalah terma yang tidak tepat. Suatu mobile station yang tidak bergerak seharusnya dipanggil sebagai stationary mobile.

Di antara stesen portable, mobile dan base station yang manakah harus diutamakan di dalam perhubungan?
Stesen portable dan mobile selalunya beroperasi dalam keadaan minimum. Kuasa pemancaran, antenna, bekalan kuasa, perlindungan, dari keadaan cuaca yang minimum. Keutamaan harus diberikan kepada stesen-stesen ini. Base station kebiasaannya mempunyai sistem antenna yang sempurna dan bekalan kuasa yang cukup untuk ke udara dalam tempoh yang panjang. Segala peralatan penguji, peralatan pembaikan, perlindungan yang sempurna dari semua jenis keadaan cuaca dan juga mempunyai sistem komunikasi alternatif lain seperti internet dan talian telefon berwayar.

Positive? Kedengaran ada beberapa stesen radio amatur yang menyebut positive bagi menyatakan suatu kepastian di dalam kenyataan atau soalan. Di dalam prosidur suara radio amatur, positive tidak menjadi amalan bagi generasi radio amatur yang terdahulu. Jika dirujuk pada senarai prowords dalam prosidur suara, terma yang paling tepat adalah affirm atau affirmative. Roger juga diterimapakai untuk menyatakan kepastian dan roger bukanlah over atau go ahead yang digunapakai untuk memberi laluan kepada stesen kedua memancar. Dalam pengoperasian CW, tiada operator yang menggunakan prosign R dihujung penghantaran.

Break dan break-break. Break adalah isyarat yang bermaksud pause atau berhenti seketika. Break digunakan untuk memberi peluang stesen kedua atau stesen lain untuk memberi respon. Break juga digunapakai dalam mod CW. Penggunaan break atau short break tak menjadi masalah jika kita inginkan respon serta merta dari stesen yang dihubungi.
Break-break atau break, break, break digunakan untuk memaklumkan mesej berkeutamaan tinggi kepada pendengar dan harus digunakan sewaktu cemas.

Repeater hendaklah digunakan dengan sewajarnya. Kurangkan penggunaan repeater jika sesebuah repeater itu beroperasi dengan bekalan kuasa bateri dan solar. Berikan peluang menggunakan repeater kepada mereka yang lebih memerlukan. Sebuah repeater menelan ribuan ringgit untuk berdiri dan beroperasi dengan cekap. Kos pelarasan dan alat ganti juga tinggi dan selalunya dibawah kawalselia komuniti atau kelab radio amatur.

Maksimumkan pengoperasian simplex. Operasi simplex nampak mudah. Jika dilihat pada keadaan mukabumi di Malaysia yang berbukit bukau, operasi simplex merupakan satu cabaran bagi jalur VHF dan UHF. High gain antenna dan kuasa pancaran yang tinggi belum mencukupi. Ada perkara lain yang harus diambil kira. Apa pun terpulang kepada individu itu sendiri.

Lihat disekeliling kita. Ambil peluang yang ada di dalam radio amatur ini untuk mengasah minda. Buka mata dan hati. Radio amatur adalah hobi saintifik. Sains adalah satu kajian mencari sebab akan terjadinya sesuatu kesan atau hasil.  Amalan orang ramai belum tentu betul dan amalan beberapa individu belum pasti salah. Kaji dan terus mengkaji.

73 de 9M2PJU

No comments:

Post a Comment